SEMBANG KOMIK: Rasisme Komik?

resisme

Minggu lalu berlangsungnya acara yang paling dinantikan oleh peminat komik Malaysia setiap tahun iaitu Comic Fiesta 2015! Tahun-tahun lepas, acara ini sering berlangsung di KL Convention Center, tapi untuk tahun ini lokasi dialihkan ke Mines International Exhibition & Convention Center (MIECC). Kalau sebelum ni aku datang ke Comic Fiesta sebagai pengunjung setia, untuk kali ini aku berpeluang untuk buka booth jualan bersama De’Gwet dan Comicore Club.

Bezanya antara hadir sebagai pengunjung dan artis (itu gelaran yang diberi kepada mereka yang buka booth) adalah, sebagai artis aku penat! Haha. Bukanlah tak biasa buka booth untuk acara, tapi kali ni penat dia lain macam sikit. Mungkin sebab jarak fasiliti dan ruang yang besar membuatkan pergerakan kali ni banyak dan kerap. Ini juga kali pertama aku buka booth untuk acara yang besar, dua booth sekali pula tu. Memang agak haru. Yang seronoknya, aku rasa sangat berkuasa bila boleh keluar masuk sana-sini dengan kuasa tag ‘Artist’ itu. Apa-apa pun, itu pengalaman yang sangat bermakna dan kami dah aim untuk buat lebih baik untuk tahun depan!

Bila pakai topi ‘peminat’…

Masa aku datang sebagai pengunjung, aku letak mood sebagai peminat komik dan merasai keterujaan melihat para cosplayer dan deretan booth pelukis yang aku kenali. Selain itu, ada juga booth yang menjual merchandise berdasarkan watak komik yang popular, kebanyakannya adalah manga-anime Jepun. Tapi sebagai peminat, aku takdelah hiraukan sangat sebab fokus waktu itu aku akan melihat / mencari hasil lukisan, stroke ataupun artis yang aku minat. Pastinya, yang aku kenal mestilah stroke dan stail lukisan berbanding wajah artis tu. Apa yang aku cari? Aku jarang beli illustrasi sebab aku jenis manusia tak gantung poster. Haha. Jadi, bila aku beli illustrasi / poster dan merchadise, itu memang yang betul-betul aku minat dan untuk simpanan aku.

Untuk Comic Fiesta 2015, kecenderungan aku lebih kepada komik dan alatan lukisan. Namun.. adakah bahan-bahan ini ada di Comic Fiesta bilamana istilah ‘komik’ menjadi tajuk acara? Hmm.. Ada, tapi pilihannya agak terhad.

Rasisme Komik?

Bila aku dan kawan-kawan buka booth untuk Comic Fiesta kali ini, aku rasa cukup bertuah sebab aku dapat sesuatu dari sudut pandangan penggiat komik di Malaysia. Secara keseluruhannya, majoriti peminat dan artis yang ada adalah berdasarkan manga-anime Jepun. Kalaupun ada dari komik barat, mereka akan dihasilkan dalam stroke lukisan Jepun.

Sebenarnya memang ramai artis di Malaysia ni yang mampu hasilkan lukisan berkualiti setanding tahap antarabangsa. Tapi fahamlah, bukan semua yang mampu kita kenal. Aku selalu tertanya, kenapa mereka ni tak keluarkan produk seperti komik atau novel grafik? Realitinya, tak semua yang boleh melukis, mampu menghasilkan komik. Untuk Comic Fiesta, kebanyakan deretan booth artis adalah mereka yang menghasilkan illustrasi untuk poster dan merchandise, selain buka peluang untuk peminat mereka dengan commission. Tak ramai yang menghasilkan komik sebagai bahan utama untuk jualan.

Apa yang rasisnya dalam suasana komik ni? Okaylah, rasisme yang aku maksudkan bukanlah hal ‘perkauman’ tetapi lebih kepada perbezaan golongan di dalam suasana komik Malaysia. Perkara ini sebenarnya sudah aku amati dan lalui masa Comic Art Festival Kuala Lumpur (CAFKL) awal tahun dahulu sehinggalah penutup acara tahun ini dengan Comic Fiesta. Tolaklah macamana sekalipun, perkara ini menjadi ‘tragedi’ untuk sesetengah penggiat komik di Malaysia. Ini tiga perkara utama mengikut pengamatan aku sendiri..

1. Rasisme Pembeli

Jika korang biasa terlibat sebagai mereka yang membuka booth jualan semasa acara bertemakan komik dan bukan komik, korang boleh lihat perbezaan ketara dalam demografi pembeli.

Untuk acara yang bukan bertemakan komik, pembeli yang datang tak semestinya peminat komik dan ada antaranya langsung tidak berminat dengan komik. Kuasa membeli mereka juga tidak boleh dijangka dan tidak menentu. Kadang-kadang tinggi, kadang-kadang kurang. Ini bergantung kepada faktor lokasi dan pengunjung. Tarikan utama yang membuatkan booth komik lebih menonjol adalah kerana produk jualan yang berbeza daripada penjual yang lain.

Pengamatan aku, kuasa tarikan untuk acara begini adalah kanak-kanak dan remaja, manakala pembeli adalah ibu bapa. Booth jualan komik dan karekter kartun menarik minat kanak-kanak. Ibu bapa selalunya akan menawarkan kepada anak-anak mereka untuk membuat pembelian. Mereka ini selalunya bukan peminat komik dan mereka tidak biasa dengan kehadiran komik lebih-lebih lagi komik hiliran atau ‘indie’. Jadi, bila anak mereka berminat, ibu bapa belek, tanya tentang komik tu daripada penjual dan jika okay, mereka beli.

Untuk acara bertemakan komik, tak dinafikan, pembeli adalah mereka yang terdiri daripada peminat komik dan fokus utama mereka adalah spesifik kepada minat mereka. Cabaran untuk acara begini, pilihan pembeli untuk booth komik atau berkaitan komik melimpah ruah. Perkara penting, apa keunikan yang booth kita sediakan untuk tatapan pembeli. Pengunjung untuk acara seperti ini memang ramai, tapi  jika kita mempertaruhkan hasil karya / produk yang agak berbeza, maka risikonya adalah penerimaan pengunjung.

Pengamatan aku, adakala perbelanjaan mereka ini terhad dan pembeli memang mencari apa yang mereka mahu sahaja. Namun kuasa membeli mereka tinggi. Mereka tak melihat kepada artis tapi hasil / produk yang dijual. Pembeli yang tak dijangka datang dari mana dan apa minat mereka, jika mereka belek dan suka, maka mereka akan beli.

2. Rasisme Produk

Perkara utama yang perlu kita ingat, bila pengunjung datang ke sesuatu acara, fokus mereka adalah untuk berbelanja. Jadi, produk yang kita mahu jual haruslah ada faktor mampu jual kepada pembeli. Seperi di Comic Fiesta, apa yang dapat dilihat adalah produk utama mereka bukanlah komik tapi kebanyakan artis menjual merchandise dan membuat commission. Tiada yang salah dalam hal ini sebab memang fokus utama adalah produk yang mampu dijual.

Pengamatan aku, kejayaan dan keuntungan untuk produk yang mampu dijual pada zaman ini adalah berdasarkan manga-anime Jepun. Korang pergilah kemana acara pun, booth begini menjadi tumpuan pembeli lebih-lebih lagi jika artis itu dikenali. Bukan bermaksud booth dengan produk bukan dari manga-anime Jepun tidak boleh dijual, cuma margin keuntungannya tidaklah sehebat booth lain. Booth aku menjual produk komik sepenuhnya, lazimnya komik indie dan kebanyakannya dengan stroke yang tersendiri. Adakah kami mampu membuat jualan? YA, kami mampu. Cuma pembeli terdiri daripada golongan peminat dan kumpulan tertentu.

Satu perkara lagi, produk komik jarang didapati di booth jualan dan lebih cenderung kepada jualan merchandise. Produk sebegini mampu dijual dan ada kuasa pembeli yang tinggi. Tak kisahlah artis tersebut buat lukisan fan-art atau jualan produk berdasarkan watak manga-anime Jepun seperti bantal, figurin, kostum dan button badge, semuanya boleh dijual. Mungkin kerana komik daripada artis Malaysia kurang dikenali dan masih belum kuat untuk menarik minat pembeli.

3. Rasisme Bahasa

Terdapat perbezaan juga pada bahasa komik yang menarik minat orang membeli. Apabila membuka booth di CAFKL, apa yang aku belajar adalah pemerhatian kepada demografi pembeli dan pengunjung untuk sesuatu acara.

Pengamatan aku, untuk acara yang bertemakan komik, komik dengan Bahasa Inggeris (English) lebih mudah diterima pembeli. Mungkin kerana lingkungan pembaca yang lebih luas berbanding Bahasa Malaysia. Disebabkan itu, aku bersedia untuk hasilkan komik dengan dwibahasa untuk tangkap lebih ramai pembaca dan pembeli. Contohnya, di Comic Fiesta aku hasilkan komik INKRAMADAN dwibahasa. Ternyata versi Bahasa Inggeris mendapat sambutan yang lebih. Aku yakin, berdasarkan pola peminat komik Malaysia, selain Bahasa Inggeris, komik dengan Bahasa Cina mampu mendapat sambutan yang tinggi.

Adakah komik Bahasa Malaysia susah untuk dijual? Ish.. mestilah BOLEH. Bahasa Malaysia kan bahasa rasmi negara. Semua orang boleh faham. Tapi kenalah tengok pada situasi komik sekarang. Lambakkan komik yang mudah didapati adalah dalam Bahasa Inggeris menjadikan komik dengan Bahasa Inggeris lebih dekat dan selesa dengan pembaca dan tarikannya lebih besar. Komik yang sedia ada dengan Bahasa Malaysia juga ada golongan peminat tersendiri, termasuklah dari hasil terjemahan atau yang memang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia.

Sembang:

Jujurnya, aku masih lagi berjaga-jaga dalam membuat entri ini sebab beberapa perkara kalau disentuh boleh mengundang maksud ‘resisme’ yang sebenar. Mungkin dalam perbincangan secara serius dan lisan boleh membuka hal ini secara lebih terbuka dan berterus-terang. Bukan semua orang boleh menerima pendapat berbeza dan mempunyai pandangan yang sama dengan aku.

Seperti Comic Fiesta dan yang baru diperkenalkan, Komik Kon, apa yang dapat dilihat fokus mereka bukan kepada ‘komik’ tapi lebih kepada ‘fan-service’ untuk peminat komik. Tak ramai yang menyedari situasi ini, hanya segelintir daripada mereka yang bertanyakan..

“Di mana KOMIK di dalam acara ini?”

Ini bukan perkara asing, malah Comic Con sebenar pun sudah dibanjiri kehadiran media yang bukan dari komik seperti filem dan permainan video. Pada aku, ini berlaku kerana perkembangan adaptasi watak dan cerita komik kepada media yang berbeza. Walaupun ada yang menganggap komik semakin terpencil dimata peminat, bagi aku apa yang penting semuanya masih bermula dari komik itu sendiri. Peranan komik itu masih ada dan sejauh mana ia berkembang kepada adaptasi media yang lain, asasnya masih lagi dengan kewujudan komik. Mungkin kita kena berusaha untuk buat komik berdiri sama tinggi dengan media adaptasinya.

Dari sudut positif, pengamatan untuk setiap acara yang aku turut serta membolehkan aku dan kawan-kawan membina strategi untuk produk jualan kami. Ini juga perjuangan kami untuk industri komik Malaysia. Tidak ada perkara mudah untuk menjayakan matlamat dan tidak juga mustahil untuk dicapai. Banyak lagi faktor-faktor lain yang berkaitan dan harus dipandang serius jika mahu komik dijadikan industri yang diiktiraf di Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s