10. Kris

Kris

Semua ahli Core Seven terkejut dengan kata-kata Airis. Mereka berpandangan sesama sendiri dengan raut wajah ‘tidak percaya’.

“Airis, awak tahu kan Kris tu adik kepada Juna?” soal Mari. Airis mengangguk dan memberitahu kisahnya bersama Juna sebelum tiba diperkampungan ini. Semua ahli Core Seven tahu kerana itu misi individu Juna.

“Satu lagi, awak tahu tak mereka tu anak kepada Tuan Duka?”

Soalan Mari itu menyebabkan Airis tersentak. Mereka anak-anak Tuan Duka? Bukankah Juna ada menceritakan bagaimana Ayahnya dulu menolak dia sebagai anak selepas mengetahui dia adalah Forte? Adakah cerita sedih Juna hanyalah sandiwara untuk memujuknya sahaja? Sanggup Juna menipu sampai ke tahap itu? Persoalan demi persoalan ini membuatkan Airis menjadi semakin sakit hati dan kecewa. Di dalam hidupnya sekarang, Juna orang yang paling dipercayai. Takkanlah semua ahli Core Seven mahu menipunya?

“Kami bukan nak menakutkan Airis, tapi kalau orang lain dengar tuduhan awak tadi… Habislah!” kata Olive.

“Kenapa? Apa akan berlaku kalau orang lain dengar?” Airis berasa tercabar seperti dia bersalah menceritakan apa yang dia lihat.

“Awak tak kenal Tuan Duka. Awak baru sehari di sini. Ya, perkampungan ni nampak tenang, tapi sebenarnya ada perkara yang lebih besar akan berlaku.” kata Bobi dalam keadaan membongkok dan nada yang perlahan.

“Kehadiran Airis di sini sudah dijangka. Malah ketika awak datang untuk join Core Seven juga kami dah tahu. Semuanya ada dalam rancangan.” sambung Bobi.

Fiffy yang berada dipintu memberikan isyarat. Mereka semua tiba-tiba bergelak ketawa dengan kuat. Airis terpinga-pinga. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Banyak persoalan bermain difikirannya. Masih tak dapat dihadam. Dia terfikir, adakah Core Seven sebenarnya ada masalah mental?

Dari pintu itu muncul Juna. Dia menjenguk dan memusing-musingkan kepala. Apabila terlihat Airis, dia berhenti. Pintu dibuka dan dia masuk dan berlari anak ke arah Airis. Semakin dia menghampiri Airis, Mari dan Olive berganjak pergi.

“Ai, Ai.. Awak okay ke? Saya dengar suara awak menjerit tadi. Habis evaluasi, saya terus cari awak.” ujar Juna sambil matanya meliar disekeliling Airis. Memastikan Airis tidak apa-apa.

Airis berlagak tenang walhal di dalam hatinya terpukul rasa marah kepada Juna yang sanggup menipunya. Mahu saja dia melemparkan satu tamparan wanita dipipi Juna. Namun, dipendamkan supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

“Awak lapar? Jom saya bawa awak pergi minum. Kita skip je pertarungan lepas ni. Nak?” pelawa Juna. Airis mengangguk perlahan. Ketika dia pergi mengikuti Juna, sempat dia menoleh ke arah kawan-kawan Core Seven. Mari dan Olive tersenyum lebar, manakala Bobi membuat isyarat ‘diam’ kepada Airis. Airis faham apa yang diceritakan tadi harus dirahsiakan.

……

“Juna, boleh saya tanya sesuatu?” tanya Airis sedang mereka berjalan melalui terowong menuju kafeteria.

“Boleh. Tanyalah apa pun.” balas Juna.

“Awak ada kata Kris tu adik awak kan? Dia tu macamana ye?”
Wajah Juna sedikit berubah. Dia berasa pelik mengapa Airis berminat untuk mengetahui tentang Kris.

“Kenapa tanya?”

“Boleh tak jangan jawab soalan dengan soalan!”

“Ahaha.. Garangnya dia! Dia okay, cuma pendiam sedikit.. Eh, sangat pendiam. Tapi dengan kebolehannya yang hebat tu, dia jadi antara pelajar terbaik. Ramai awek suka pada dia, tapi dia tu yang pendiam sangat. Emm.. Ke Airis pun dah terpana cinta pandang pertama dengan..” cerita Juna sambil menjeling manja kearah Airis.

“Aish, mana ada! Kenal pun tidak, takkan boleh jatuh cinta pulak..”
“Tapi apa sebenarnya kebolehan Kris? Saya tak pasti masa Core Battle dia tadi.”

Juna menjelaskan kepada Airis tentang kebolehan Kris. Kris boleh mengubah dirinya mengikut elemen yang ada dipersekitarannya. Seperti Core Battle tadi, dia menggunakan elemen air dari hujan yang dihasilkan untuk menjadikan dirinya lutsinar. Selain itu, Kris juga mempunyai kemahiran di dalam membuat strategi dan perkiraan di dalam gelanggang.

“Ada sebab ke kenapa dia jadi pendiam macam tu?” tanya Airis.

“Ermm.. Entah. Rasanya memang dari dulu dia macam tu kot. Saya pun tak pernah tanya dia.” jawapan balas Juna yang membuatkan Airis berasa pelik.

“Eh.. Awak kan abang dia. Takkanlah tak kenal adik sendiri? Ataupun ada sesuatu terjadi pada dia dan ayah awak, Tuan Duka? Dia tu bahaya, tau!” nada Airis sedikit tinggi kerana dia menganggap Juna masih mahu berbohong dengannya.

Juna berhenti berjalan dan berpaling ke arah Airis. Dia berjalan perlahan sambil jari telunjuk kanannya digoyang-goyangkan seperti teringat sesuatu.

“Sekejap, Airis. Saya rasa saya tak pernah bagitau awak yang Tuan Duka tu ayah saya.”

Airis terpaku. Terkejut. Betul, Juna tak pernah memberitahu siapa ayahnya sebelum ini. Dia seperti mahu lari, tapi tidak berganjak kerana tindakan itu akan membuatkan dia kelihatan bersalah. Juna berdiri di hadapan Airis. Soalan seterusnya..

“Apa yang awak maksudkan dengan Kris tu ‘bahaya’?”

Airis membisu. Di dalam kepalanya ligat mencari alasan selamat untuk diberikan. Wajah dan amaran Bobi supaya merahsiakan hal tadi berkali-kali melintasi memorinya. Dia mula berpeluh sedangkan Juna berdiri tegak, merenungnya dalam dan menanti jawapan.

Advertisements