11. Rahsia

Rahsia

Pintu bilik dihempas kuat. Juna menerjah masuk kedalam bilik tersebut sambil menarik tangan Airis. Wajahnya bengis dan membuatkan ahli Core Seven semuanya berdebar dan risau. Juna berhenti di hadapan sebuah meja dan Airis berdiri diam disebelahnya.

“Korang ni memang dalam bahaya. Satu misi kecil sahaja langsung tak dapat nak selesaikan.” kata Juna seakan marah dan kecewa.

“Nasib baik dia terlepas tanya dengan aku. Cuba bayangkan kalau depan Tuan Duka atau Catherine?” sambungnya. Juna berpeluk tubuh, badannya dipalingkan kebelakang. Keadaan jadi senyap sunyi seketika sehinggalah Airis bersuara.

“Nanti! Misi? Misi apa ni? Apa lagi rahsia yang ada ni?!”

Semua mata tertumpu kearah Airis. Kemudian berpaling kepada sesama mereka sendiri. Menanti siapa agaknya yang perlu menjawab persoalan Airis yang masih berdiri dengan wajah merah padam.

“Ini mini-misi kami. Kami kena elakkan Airis dari buka cerita tentang Kris. Tapi kami gagal.” kata Olive sedih.

“Saya rasa ada sesuatu yang pelik di sini. Dengan kisah Juna, misteri Tuan Duka, perangai pelik korang semua ni.. Saya nak pergi dari sini. Entah apa pula akan jadi lepas ni!” kata Airis penuh emosi. Fikirannya terganggu kerana berasa dirinya sering dipermainkan dan dibohongi. Dia berpaling dan berjalan laju kearah pintu.

“Sabar, Airis! Jangan buat tindakan melulu macam tu!” Juna berlari mendapatkan lengan Airis.

“Sudahlah buat dia dalam selubung macam tu. Ceritalah saja, Juna.” kata Zynn. “Lebih baik dia tahu daripada kau, bukan orang lain.”

Juna memandang mata Airis dan ditenungnya sedalam mungkin. Dia sendiri puas menahan dirinya daripada menceritakan hal sebenar kepada Airis. Itu juga misinya, untuk menjauhkan Airis dari mengetahui perkara sebenar. Setelah mengetahui Airis memilih untuk bersama Core Seven, segera Juna mendekati mereka dan menceritakan misinya. Dia memohon pertolongan untuk merahsiakan hal misinya dan perihal cerita disebalik perkampungan itu. Namun, apa yang telah berlaku hari ini, membuktikan semuanya bakal berakhir dengan lebih teruk sekiranya dia tidak campur tangan. Inilah waktunya untuk menceritakan segalanya kepada Airis.

“Baiklah. Airis, saya harap awak boleh bertenang dahulu. Saya akan ceritakan semuanya.” jelas Juna.

Airis duduk berhadapan dengan Juna. Ahli Core Seven yang lain berada di belakang Juna, dalam samar-samar cahaya bilik itu. Hatinya berdebar, tapi dia masih mahu tahu apa kisah disebalik semua perkara yang berlaku.

Juna memulakan ceritanya sambil menarik nafas panjang. Ini juga bermaksud dia bakal gagal di dalam misinya dan mungkin akan ditugaskan untuk misi yang lain. Sesuatu yang dia tidak mahu kerana dia sudah terlalu ambil berat tentang Airis.

Segalanya bermula pada enam bulan yang lalu, ketika bilik markas Forte di Lembah Permata mendapat ‘ping’ tentang kewujudan Airis.

“Airis, walaupun Forte ada kelebihan luarbiasa, tapi awak adalah Forte yang istimewa. Sesuatu tentang kebolehan awak yang buat Tuan Duka…”

“…mahu awak dihapuskan.”