3. Bukan Sendiri

Bukan Sendiri

Hidup yang Airis tahu selama ini seakan tunggang terbalik sehingga dia sendiri keliru siapa dirinya yang sebenar. Memorinya tercampak jauh sewaktu dia kehilangan kedua orang tuanya. Ketika itu dia masih mentah dan perasaan yang difahaminya adalah rindu. Walhal sehingga hari ini dia langsung tak pernah tahu apa punca dan sebab musabab pemergian orang tuanya. Tak cukup dengan kerinduan itu, zaman kanak-kanaknya dilalui bersama mereka yang senasib dengannya. Rumah anak yatim Lembah Permata menjadi tempat dia melupakan kerinduan dan kesedihan yang ada. Namun, acapkali juga dia kehilangan teman baiknya sewaktu mereka diambil oleh keluarga angkat. Itu juga keinginan Airis, tapi tak pernah sekalipun dia didatangi mana-mana keluarga untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Membuatkan dia rasa teruk dan tidak berguna.

Sehinggalah tahun lalu, dia bertemu Juna. Seorang pemuda yang tiba-tiba muncul sebagai penghuni rumah anak yatim tersebut. Airis tak pernah bertanya tentang latar belakang Juna kerana dia tidak mahu menyebabkan Juna sedih jika nasibnya sama. Mereka menjadi rapat dalam sekelip mata. Juna sangat memahami dan itu membuatkan Airis berasa selesa mempunyai sahabat seperti Juna.

Tapi selepas mengetahui Juna hanyalah sebahagian daripada misi kumpulan yang digelar Antidot tersebut, Airis menjadi hampa. Juna hanyalah sebagai pelindung yang hadir untuk menyelesaikan misi, bukan sahabat yang dia harapkan. Dia tak tahu siapa yang dia perlu percaya sekarang ini.

Mukanya dikatup dengan tangan. Hujung lengan bajunya sudah mula dibasahi air mata. Entah apa yang membuatkan dia berasa begitu sedih pun dia tak tahu. Mungkin kerana kecewa dan kepercayaannya dikhianati.

Juna berjalan perlahan mendekati Airis yang duduk beralaskan papan dan menghadap tingkap yang usang itu. Setibanya mereka di garaj besar ini tadi, Juna sudah tahu perkara begini akan berlaku. Berdasarkan apa yang telah terjadi pada dirinya dahulu, Juna faham sangat dengan tindak balas Airis. Tapi kini dia tak mahu Airis menjadi sepertinya dahulu. Kerana bertindak sendiri dan tiada kepercayaan dengan orang sekeliling, begitu besar implikasi yang dia hadapi. Dia tak mahu itu terjadi kepada Airis.

“Ai, Ai… Macamana awek comel macam ni boleh duduk sorang-sorang tanpa teman?” Panggilan manja Juna kepada Airis. Cubaanya membuat pickup line dibalas dengan dengusan.

“Airis.. Janganlah macam ni. Awak marah kat saya ke?”

Airis memalingkan mukanya kekanan. Air mata dikesat dan kembali melihat ke luar tingkap. Masih tidak mahu memandang Juna.

“Awak tahu tak.. Dulu, masa saya pertama kali dapat tahu tentang kebolehan saya, saya lari dari rumah berhari-hari.” Juna membuka ceritanya.

“Waktu tu Ayah saya langsung tak nak mengaku saya sebagai anak dia. Mak saya sampai susah hati dan menangis berhari-hari. Saya pulak bawa perasaan. Rasa diri saya ni pelik.”

Airis menoleh perlahan. Wajah Juna yang separuhnya diterangi cahaya bulan itu seakan menikam hatinya. Dia tidak pernah tahu tentang kisah Juna.

“Lepas tu, apa terjadi?”

“Saya jadi marah. Tapi sebab saya fikir saya boleh berdikari dengan kebolehan tu, saya mula gunakannya untuk hidup. Tapi buat macam-macam benda salah. Sebab saya perlukan duit dan mahu hidup.”

“Apa yang saya tak fikir adalah kesannya. Kesan yang bukan ditanggung oleh saya, tapi orang lain. Kesan yang sangat buruk sebab saya fikir saya boleh buat sendiri dan menjauhkan diri dari orang lain. Sehinggalah saya direkrut oleh Antidot. Saya belajar tentang kepercayaan.”

Air muka Juna berubah sedih tapi dia tidak menangis. Airis mula berasa simpati. Hatinya mula terbuka sedikit untuk memberikan kepercayaannya kembali kepada Juna.

“Perkara utamanya…” Juna menarik nafas panjang. “…saya taknak awak jadi macam saya dahulu. Sesat sendirian. Awak bukan sendirian, Airis. Awak ada saya. Saya boleh bantu awak.”

“Bantu saya?”

“Ya. Bantu awak untuk explore apa kebolehan sebenar dan gunakan untuk melindungi diri.”

“Saya nak lindung diri saya dari apa? Dari orang yang cuba culik saya tu ke?” Airis menukar posisi duduknya. Apa yang diperkatakan oleh Juna seakan mengundang rasa tidak sedap hati.

“Mereka tu hanya ancaman kecil saja, Airis. Ada ancaman lebih besar yang menanti, terutamanya untuk manusia luarbiasa seperti kita.”