4. Forte

Forte

Juna rasa bersemangat dan berkeyakinan. Perbualannya bersama Airis memang amat mendebarkan. Tak disangka-sangka, Airis mudah menerima segala penjelasan dan sedia memaafkannya.  Juna tidak main-main. Dia serius untuk membantu dan melindungi Airis. Sekurang-kurangnya itu yang boleh dia lakukan untuk menebus kesilapannya dahulu. Hatinya senang melihat Airis kembali tersenyum. Apa yang Juna perlukan sekarang adalah semangat dan sifat positif Airis dalam menempuhi segala cabaran yang bakal mereka hadapi.

Sewaktu bertemu dengan Tuan Duka dan Arora, Juna mahu Airis mendapat pendedahan dengan lebih pantas. Oleh itu dia mahu Airis mendekati komuniti Forte di Lembah Permata ini dengan lebih dekat. Tuan Duka bersetuju dan kini Airis akan meneruskan perjalanannya bersama komuniti ini sehingga dia bersedia.

Perkara pertama yang perlu Airis fahami adalah perihal mengenai Forte. Forte adalah panggilan untuk golongan manusia yang mempunyai kebolehan luarbiasa. Seperti Juna yang boleh bergerak pantas, ada beberapa lagi kebolehan Forte yang unik. Bagaimana Forte boleh memiliki kebolehan sebegini masih lagi misteri.

Namun, kehadiran Forte tidak diterima mudah oleh manusia biasa. Forte bukan kesan dari mutasi. Buat masa kini, Forte dianggap manusia dengan penyakit DNA. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti dan bila-bila masa sahaja mereka boleh berubah daripada manusia biasa kepada Forte. Misteri begini telah memaksa tentera dunia menubuhkan Fellows; sebuah unit di bawah badan ketenteraan yang bertindak mengesan dan mengumpulkan Forte. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada mereka yang dibawa ke kem pemulihan Fellows, tetapi yang pasti mereka akan terus terputus hubungan dengan keluarga dan dunia.

Walaupun begitu, masih ada kumpulan manusia biasa yang menganggap tindakan Fellows terhadap Forte adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mereka ini pula menggelarkan kumpulan mereka Antidot. Modus operandi mereka seakan Fellows; mengesan dan mengumpulkan Forte. Tetapi tujuan mereka adalah untuk melindungi dan memberikan hak kepada mereka jika tidak mahu diasingkan ke kem Fellows. Antidot ada cawangan kecil mereka dimerata tempat yang tersorok. Forte yang mereka selamatkan akan dikumpulkan bersama. Jika ada keluarga yang tidak mahu berpisah, maka mereka akan tinggal bersama Antidot.

Yang paling penting adalah mencari Forte yang bersendirian. Forte yang ketakutan ataupun yang tidak diterima keluarga dan masyarakat. Forte begini mereka akan bantu untuk kawal dan gunakan kebolehan mereka ke arah yang lebih baik. Kerana Antidot sedar akan bahaya kebolehan Forte yang tidak terkawal boleh mengundang ancaman kepada manusia biasa. Jadi, Antidot mengajar Forte untuk mengawal kebolehan mereka supaya tidak membahayakan orang lain.

Forte mula wujud sejak lima tahun dahulu dan kini mereka semakin berkembang. Kanak-kanak Forte tidak akan menunjukkan kebolehannya sehingga dia berumur  16 tahun. Sewaktu ini, perkara yang pelik dan mengejutkan akan berlaku terhadap Forte. Ada yang dibuang keluarga seperti yang berlaku kepada Juna. Remaja Forte yang diabaikan seringkali akan menyalahgunakan kebolehan mereka akibat daripada tekanan emosi dan kemahuan sosial. Golongan remaja Forte juga yang paling diburu kerana di awal perkembangan mereka, kebolehan yang dimiliki adalah pada tahap tenaga paling tinggi. Oleh itu, mereka mampu mendatangkan masalah jika tidak dikawal.

Di cawangan Antidot Lembah Permata, kebanyakan daripada Forte adalah remaja. Kawasan Lembah Permata yang pesat dan membangun ini menyebabkan ramai remaja Forte terabai dan membuatkan mereka melakukan semua perkara mengikut kehendak mereka.

Di sinilah segalanya bakal bermula untuk Airis. Dia sendiri masih tertanya-tanya apakah kebolehannya.

Untuk Juna pula, ini adalah permulaan untuk misi seterusnya.

Advertisements