6. Kelas Pertama

Kelas Pertama

Bangunan itu sangat luas dan besar. Seingat Airis, semasa dia berada di rumah anak yatim Lembah Permata dahulu, Pengetua ada menceritakan tentang bagaimana manusia dahulu dididik dengan sistem yang dinamakan sekolah. Bagaimana para pelajarnya diberikan pengajaran tentang pelbagai perkara dan akhirnya mereka akan dinilai melalui ujian bertulis. Sehingga satu tahap, sekiranya berjaya, ada pelajar yang akan menaiki satu lagi tahap yang dinamakan universiti.

Tapi itu kisah sejarah manusia beratus tahun dahulu. Kini, semua informasi dikawal oleh kerajaan Univertopia. Semua manusia dinilai berdasarkan prestasi mereka apabila mereka mencecah 18 tahun. Selepas itu, mereka akan diberikan kerjaya tertentu dan bertugas sehingga tiba waktu evaluasi seterusnya. Kanak-kanak pula akan diberikan pendidikan awal untuk membina kemahiran diri. Setelah mencapai umur 13 tahun, kehidupan akan mula mengikut jadual yang diberikan. Kami diajar pelbagai ilmu kemahiran yang lebih sukar. Setiap hari rutin kami dipantau sehingga kami mencapai umur 18 tahun. Sistem kerajaan dunia inilah yang membentuk masyarakat kini.

Sebagai penghuni rumah anak yatim, rutin Airis sedikit berbeza. Ini kerana anak-anak yatim tiada sokongan ibu bapa dan mereka bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan. Airis diberikan skil tambahan iaitu kawalan psikologi dan latihan IQ. Bagi kerajaan, golongan sebegini memerlukan jati diri dan ketahanan minda yang tinggi untuk meneruskan hidup menjelang dunia kedewasaan. Oleh kerana itu, Airis mempunyai ketahanan emosi yang stabil dan kelebihannya berbanding yang lain adalah; dia mampu menilai jatidiri manusia dalam masa yang singkat. Penilaian Airis agak tepat dan diakui oleh H.U.S.A (Human Skills and Ability Assessment Association), badan yang menjalankan ujian keatas setiap manusia.

……

Juna dan Airis tidak berbual banyak ketika berjalan menuju ke arah sebuah dewan yang terletak di tengah-tengah sekolah tersebut. Masing-masing sedang memikirkan tentang diri mereka. Juna sedikit risau sekiranya Airis marah apabila mengetahui tentang misinya yang lain. Airis pula sedang ligat memikirkan cara untuk mengorek rahsia sebenar Juna. Adakala mata mereka bertentangan tanpa sengaja, tapi cuba dialihkan sepantas mungkin untuk mengelakkan rasa curiga.

Mereka tiba di hadapan dewan tersebut. Dari luar keadaan agak senyap sunyi. Tetapi apabila Juna membuka pintu, kedengaran pelbagai suara manusia dan ternyata mereka sedang melakukan sesuatu. Airis kaget apabila mendengarnya. Dia tidak selesa dengan rasa misteri dan tertunggu-tunggu begini.

Di tengah dewan tersebut terdapat beberapa remaja bersama seorang wanita yang berpakaian ala bangsa negara Chitopolis. Pakaian yang agak unik dan sukar untuk dilihat ketika ini. Airis terlalu asyik melihat baju wanita itu sehingga disedari olehnya.

“Kenapa? Kamu berminat dengan baju Cheongsam saya?” tegur wanita tersebut. Airis tersentak dan menggelengkan kepala. Wanita itu dalam lingkungan 30-an. Wajahnya jelita dengan rambut yang hitam itu diikat ketepi dan diselitkan sekuntum bunga. Memandang Airis dengan senyuman.

“Puan Catherine, saya bawa pelajar baru untuk kelas ini. Perkenalkan, Airis.” kata Juna dengan penuh hormat.

“Ooo.. Wow. What an honor! Apa khabar, Airis. Bertuah saya dapat mengajar kamu.” balas Catherine dengan penuh gembira. Airis terpinga-pinga. Sejak dari semalam, Tuan Duka dan Catherine menunjukkan reaksi yang pelik apabila mendengar namanya.

“Baiklah, begini. Jangan risau Airis. Ini kelas pertama kamu. Hari ni kamu duduk saja, berkenalan dengan kawan-kawan baru dan lihat saja perjalanan kelas. Boleh?” ujar Catherine sambil menarik tangan Airis menuju kearah kumpulan remaja tadi. Airis hanya mengangguk tanda okay.

Catherine memperkenalkan Airis kepada kelasnya. Mendengar sahaja nama Airis, semua pelajar berbisik-sesama sendiri. Tiba-tiba seorang daripada mereka menghampiri. Seorang gadis bertubuh kecil dengan rambut tiga warna yang diikat tocang.

“Hai Airis. Saya tak tahu kenapa semua orang macam anggap awak seperti selebriti, tapi saya sendiri pertama kali dengar nama awak!” katanya sambil berbisik.

“Saya Olive.” sambungnya sambil menghulurkan tangan. Airis menyambutnya dengan mesra.

“Olive, awak pun baru tiba di sini?”

“Bukanlah! Saya sudah lama di kampung ini. Cuma, bulan lepas baru join kelas ni sebab umur saya sudah capai 13 tahun.”

“Tapi… Bosanlah! Saya lebih suka jalan-jalan di dalam kawasan kampung ni.” tambahnya dengan mimik muka muram.

“Olive, kau tak suka belajar, jangan nak hasut orang lain jadi malas sama, tau!” sampuk seorang pemuda. Tingginya seakan Airis, dengan kaca mata dan pakaiannya yang kemas.

“Hish, kau ni suka sibuk hal oranglah, Bobi!”

“Mak kau yang minta aku perhatikan kau. Eh, Airis kan? Hai, saya Bobi.”

Tanpa lengah, otak Airis terus menjalankan analisa keatas Olive dan Bobi. Berdasarkan maklumat melalui pergerakan, percakapan, tona suara dan reaksi muka mereka, Airis dapati mereka ini boleh dipercayai. Dia membuat keputusan untuk kekal rapat bersama mereka di dalam kelas ini.

Airis hanya duduk memerhatikan sahaja segala aktiviti dan interaksi di dalam kelas tersebut. Menjalankan analisa keatas setiap pelajar supaya mudah dijadikan kawan. Sedang dia memerhati, pandangannya terhenti ke arah seorang pemuda. Wajahnya tenang, tetapi ada sesuatu yang tersembunyi. Dia seakan Juna, tetapi apa yang cuba disembunyikan lebih gelap dan dalam. Terlalu misteri. Tiba-tiba hati Airis bagaikan dipanah petir. Satu renjatan yang kuat tetapi pantas itu menyebabkan fikirannya terhenti dari memikirkan tentang pemuda tersebut.

Airis pasti ada sesuatu yang buruk bakal terjadi. Kali ni dia mahu mengenali, siapa pemuda misteri itu.

Advertisements