7. Core

Core

“Oh, itu adik saya. Kris.” kata Juna selamba.

“Adik awak Juna?!” Airis hampir menjerit apabila mengetahui pemuda yang sedang diperhatikan itu adalah adik kepada Juna.

“Patutlah saya ada rasa yang dia sama macam awak. Keluarga awak ni memang jenis yang suka berahsia ke?” sambungnya sambil menyilangkan tangan ke dadanya dan mula bersandar.

“Kenapa? Awak pernah jumpa Kris ke sebelum ni? Dia ada ganggu awak ke?” tanya Juna. Dahinya sedikit berkerut dan badannya bergerak ke hadapan menghampiri Airis.

“Takdelah. Tapi tadi masa saya pandang dia, rasa macam kena renjatan elektrik. Entah dari mana.”

“Oh..” Juna memandang Kris dari jauh. Pandangannya itu berbalas. Kris seperti tahu mereka sedang memperkatakan tentang dia.

“Ish, it’s okay. Saya dah tahu dia adik awak jadi saya lega sedikit. Jangan risau.” kata Airis.

Sekarang ini adalah waktu rehat mereka selepas sesi pagi pembelajaran. Dari amatan Airis, apa yang diajar oleh Catherine ada persamaan dengan silibus kerajaan. Namun, berbeza dengan kerajaan, pendekatan Catherine lebih kepada eksplorasi terhadap kebolehan diri sendiri. Silibus kerajaan memaksa kami mengikut apa yang telah ditulis dan diberitahu. Setiap langkah harus diingati dan dilakukan dengan betul. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, nama mereka akan ditanda dan dibawa pergi. Ke mana? Tiada siapa yang tahu. Ada yang mengatakan mereka akan dimasukkan kedalam program brainwash di suatu lokasi rahsia.

Bukan semua di dalam kelas ni adalah Forte, ada beberapa darinya manusia biasa yang muncul dari keluarga yang menetap sama di perkampungan ini. Bahkan Catherine sendiri bukanlah seorang Forte. Yang menjadi persoalan difikiran Airis, mengapa mereka dikumpulkan bersama? Bukankan kelebihan akan ada kepada Forte sekiranya prestasi pelajar yang diambil kira?

“Baik, sekarang sila duduk di dalam kumpulan. Di dalam Core kamu semua.” ujar Catherine dengan suara yang lantang. Semua pelajar mula bergerak dari tempat duduk dan keadaan menjadi bising.

Airis bingung. “Core? Apa benda tu? ”
Dia juga bangun tapi pergerakannya terhenti. Airis melihat Juna dan Olive bergerak ke arah yang berlainan. Siapa yang dia perlu ikut?

“Ahh.. Airis! Marilah join Core kami!” tempiak beberapa kumpulan pelajar sambil melambai kearah Airis. Masing-masing seperti beriya-iya mahu Airis di dalam kumpulan mereka.

Kelihatan Juna di dalam satu kumpulan bersama adiknya, Kris. Olive pula bersama Bobi di dalam kumpulan yang lain. Di hadapan Airis terdapat tujuh kumpulan dan Airis masih lagi terpacak di tengah-tengah kelas itu.

“Airis, dah buat keputusan untuk join Core yang mana?” tanya Catherine. Airis menggelengkan kepala.

“Saya tak faham semua ni.”jawab Airis perlahan sambil memandang setiap kumpulan.

Catherine menerangkan kepada Airis, Core adalah kumpulan berdasarkan kebolehan mereka. Tujuh kumpulan ini ditentukan ketika ujian kebolehan mereka sewaktu mereka melangkah masuk dahulu. Core One adalah kumpulan pertama di mana Juna berada, manakala Core Seven adalah kumpulan Olive dan Bobi.

Core Seven ni untuk mereka yang mempunyai kebolehan sokongan. Kebolehan sokongan bermaksud kebolehan yang tidak boleh menyerang dan menahan. Forte dengan kebolehan begini sering menjadi mangsa buli tetapi boleh diterima masyarakat manusia biasa kerana ancaman yang rendah. Airis memerhatikan ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima orang. Tiga daripadanya adalah manusia biasa, termasuk Bobi. Mereka memandang Airis dan tersenyum.

Pelajar akan dinilai melalui tugasan atau misi dalam kumpulan mereka. Tidak seperti penilaian kerajaan yang lebih kepada prestasi individu, di sini mereka dinilai dengan semangat berpasukan dan kerjasama. Di dalam setiap kumpulan ada gabungan Forte dan manusia biasa dengan kemahiran tertentu. Mereka perlu menyelesaikan tugasan dan misi yang diberikan secara berkumpulan. Jika seorang gagal, semua akan dikira gagal. Fahamlah Airis kenapa Forte dan manusia biasa dikumpulkan bersama.

“Saya rasa nak letakkan Airis dalam Core Two atau Core Three dahulu. Kebolehan Airis boleh dilatih dan nanti Airis boleh join Core One.” cadang Catherine.

“Saya sendiri tak tahu apa kebolehan saya. Macamana Puan boleh tahu?” tanya Airis dalam kehairanan.

“Elders semua tahu apa kebolehan Airis. Tapi kami nak Airis explore sendiri.” Elders adalah gelaran untuk pemimpin-pemimpin Antidot, termasuk Tuan Duka. Kenyataan yang mereka lebih mengenali diri Airis membuatkan Airis berasa tidak selesa.

So how? Setuju dengan cadangan saya tadi?” tanya Catherine kembali.

“Hmm.. Tak.” balas Airis.
“Saya nak join Core Seven.” kata Airis dan terus pergi menuju Core Seven. Semua ahli kumpulan itu terkejut tetapi melonjak gembira. Manakala kumpulan lain hanya memerhati tindakan Airis dengan rasa hairan.

Jawapannya itu tidak mengejutkan Catherine. Sedang Airis melangkah menuju Core Seven, Catherine memandangnya dan tersenyum kecil dan berkata perlahan..

“Airis.. Seperti yang dijangka.”

Advertisements