8. Kebolehan Luarbiasa

Kebolehan Luarbiasa

Dewan besar itu kembali sunyi. Catherine berdiri ditengah dewan sambil berpusing perlahan-lahan, memerhatikan tujuh Core yang sudah sedia ditempat masing-masing. Airis melihat wajah pelajar-pelajar di dalam Core yang lain. Bercampur baur reaksi dan perasaan mereka. Ada yang sedang bersemangat seperti menanti sesuatu, ada juga yang berpeluk tubuh dengan debaran, tetapi paling banyak adalah reaksi takut dan risau. Kemudian dilihat pula wajah ahli kumpulannya. Seperti tiada apa-apa berlaku! Airis berasa musykil.

“Eh, Olive. Saya tengok ramai yang risau je. Kenapa? Apa akan berlaku ni?” tanya Airis kepada Olive yang baru saja duduk disebelahnya.

“Maaf, lupa nak terangkan kepada awak! Kalau sesi pagi kita banyak berlatih kebolehan kita, sesi petang adalah sesi pertarungan. Sesi Core Battle!”

“Pertarungan? Berlawan dengan siapa?” tercengang Airis.

“Siapa lagi, sesama kita lah dalam kelas ni haa!”

“Apa?! Tapi kenapa awak semua macam tak risau je.. Core Seven tak terlibat ke?”

“Ish, terlibat. Cuma Core Seven ni kalau masuk gelanggang.. Confirm.. Confirm KALAH! Haha.” seloroh Olive.

“Yelah.. Kita ni kan sokongan sahaja. Tiada kebolehan untuk menyerang dan menahan. Nak lawan macamana kan?” Zynn mencelah. Seorang pemuda selamba dan peramah. Memakai topi lusuh dan rambutnya putih. Bukan uban tetapi putih. Memang rambutnya begitu seperti yang diceritakan oleh Bobi.

Airis berasa sedikit lega, tetapi ada juga rasa kecewa. Padanya Core Seven seperti dianaktirikan. Walaupun kebolehan mereka sokongan, bagi Airis mereka juga harus diberi perhatian yang sama.

“Haa! Core Battle dah nak mula!” jerit Mari. Gadis gempal tetapi sangat bijak. Airis mengagumi Mari apabila melihat kehebatannya menyelesaikan pelbagai kuiz bertulis kuno untuk mengisi masa lapangnya. Hebat!

……

Proses Core Battle ini mudah. Catherine akan mencabut nama pelajar, jika terpilih, masuk ke gelanggang dan pertarungan bermula. Pelajar yang terpilih digelar Prime. Prime pula boleh memilih seorang lagi pelajar dari mana-mana Core sebagai sokongan. Peraturan utama untuk pertarungan ini, serangan tidak boleh menyebabkan kematian. Status Prime akan dinilai mengikut kepada skrin nyawa yang dipaparkan. Siapa yang memiliki peratusan yang tinggi selepas tiga minit pertarungan dikira pemenang.

Catherine menyeluk balang besar di atas pentas dan mengeluarkan dua biji bola kecil berwarna kuning. Di atas bola tersebut, tertera nama Prime pilihan. Untuk Core Battle pertama ini, Prime yang terpilih adalah Juna dari Core One dan Anggun dari Core Three. Juna memilih Lasi dari Core Four sebagai sokongan manakala Anggun memilih Otto dari Core One.

Para pelajar mula besorak menyokong Prime pilihan mereka. Juna dan Anggun berdiri dipenghujung gelanggang. Terdapat sebuah skrin besar di atas gelanggang yang mula memaparkan wajah dan status mereka. Airis tidak boleh hilangkan rasa risaunya kepada Juna. Bukankah pertarungan seperti ini berbahaya? Pandangannya beralih kepada Catherine yang berada ditengah gelanggang. Catherine mengulang kembali peraturan dan kedua-dua Prime bersetuju. Catherine mengangkat tangan sebagai tanda pertarungan selama tiga minit ini bermula.

Juna terus hilang dari pandangan. Yang kelihatan hanyalah jaluran biru neon yang semakin pudar. Anggun menguatkan kekudanya dan menjadi sangat berhati-hati. Tangannya bergerak lembut dan perlahan. Secara tiba-tiba kelihatan kelibat Juna muncul dengan pantas mahu menumbuk Anggun. Anggun berpaling melihat Juna, tetapi Juna terlalu pantas. Tumbukan mengenai sasaran dan tubuh Anggun pecah berderai. Airis yang terkejut melihat keadaan itu terus bangun dari tempat duduk.

“Apa dah jadi tu? Anggun..” kata Airis risau sambil tangannya menutup mulut.

“Huh, ala.. Jangan risau. Tengok je dulu.” kata Olive. Airis masih terpinga-pinga.

Juna berdiri pegun, tapi dalam keadaan sedia. Matanya meliar melihat keadaan sekeliling. Dari suatu sudut, Anggun dilihat berlari menuju kearah Juna. Dia kemudian melompat tinggi dan melemparkan beberapa senjata tajam seakan pisau. Dengan mudah Juna mengelak pantas serangan tersebut. Anggun tidak berhenti, dia meneruskan serangan dengan sentaja seakan pedang pula. Pertempuran mereka berterusan dan peratusan status mereka saling berubah kerana masing-masing berbalas serangan.

“Macamana Anggun boleh muncul? Bukan ke dia tadi..” tanya Airis.

“Kebolehan luarbiasa Anggun sangat unik. Dia boleh memanipulasi setiap benda, apa sahaja yang ada disekeliling anggota badannya. Yang terkena tumbukan Juna tadi hanyalah sel kulit luaran Anggun. Nampak senjata yang digunakan tu? Bukan pisau atau pedang biasa, itu tulang temulang Anggun tau!” jelas Bobi panjang lebar.

“Hebat kan? Anggun tu cantik, tapi bila tahu kebolehan dia, semua jadi takut.” Tambah Zynn.

Wow. Walaupun Airis berasa kagum, dia masih berasa tidak selamat. Di dalam dirinya ada semacam rasa bergelodak. Bukan marah, tapi dia rasa perkara yang berunsur ganas begini sepatutnya tidak berlaku. Dia tidak nampak kebaikan Core Battle selain mahu menguji kuasa dan bersuka ria. Dia nekad mahu berjumpa Catherine selepas ini.

Advertisements