9. Pertarungan Kedua

Pertarungan Kedua

Pertarungan antara Juna dan Anggun agak sengit, namun kemenangan tetap berpihak kepada Juna. Seperti yang dijangkakan daripada ahli Core One. Kedua-duanya langsung tidak menggunakan sokongan mereka. Sudah memang terbukti Core One, Core Two dan Core Three adalah kumpulan yang paling handal di dalam pertarungan Core Battle ini.

Pertarungan kedua bermula selepas kelas berehat beberapa minit. Seperti tadi, nama pelajar akan dicabut oleh Catherine. Kali ini ada Prime yang menjadi perhatian Airis. Kris, pemuda misteri yang diperhatikan sedari permulaan kelas tadi yang juga secara kebetulan adalah adik kepada Juna. Lawannya adalah Grutt daripada Core Four. Setelah memilih sokongan mereka, pertarungan dimulakan. Airis memberikan perhatian kepada Kris. Dia mahu tahu apakah renjatan elektrik yang dirasakan tadi dilakukan oleh Kris. Kebolehan Kris menjadi persoalan dan perbandingan dengan abangnya.

Core Battle dimulakan! Grutt menggunakan kebolehannya untuk terapung dan mula terbang tinggi sehingga kehujung bumbung dewan tersebut. Kris hanya memerhatikan sahaja tindakan Grutt sambil membelai perlahan rambutnya yang panjang dihadapan. Disisipkan rambutnya ke telinga dan memalingkan kepala mengikuti pergerakan Grutt.

“Ahh.. Si Grutt ni. Paling bosan kalau dia yang bertarung. Guna taktik kotor.” Kata Bobi sekali dengan tangannya yang bergerak laju itu.

“Taktik kotor?” Soal Airis.

“Betul. Grutt akan tunggu di atas tu sehingga hampir waktu tamat, barulah dia akan menyerang. Tapi silap la kan.. Sebab kali ni lawannya Kris!” ulas Bobi.

Hebat sangatkah Kris tu sampaikan Bobi sangat yakin dia akan memenangi Core Battle ini? Airis mengunci pandangannya kepada Kris. Dia menganalisa semula setiap tindak tanduk Kris. Baginya, menganalisa Kris memberi sedikit cabaran kerana perilaku Kris yang agak terbatas. Melalui pertarungan ini, dia dapat melihat perwatakan dan pergerakan Kris yang lebih.

Kris memandang Suri yang menjadi sokongannya. Mereka kemudian mengangguk tanda faham apa yang perlu dilakukan.

“Waah.. Kris dah mula!” tempiak Fiffy, ahli kumpulan Core Seven yang keenam. Namanya agak unik, tapi sebenarnya Fiffy seorang pemuda yang aktif. Fiffy adalah Forte di dalam Core Seven, bersama Airis, Zynn dan Olive. Manakala Bobi dan Mari adalah manusia biasa.

Suri mula menggerakkan tangannya dengan lembut. Hayunannya kekiri dan kekanan seakan menyeru sesuatu. Secara tiba-tiba keadaan di dalam dewan menjadi semakin gelap. Kedinginan mula dirasai dan angin mula bertiup. Airis memeluk tubuhnya dan mendongak kearah bumbung dewan. Kelihatan satu kelompok awan hitam terbentuk bersama petir dan guruh.

“Suri akan buat serangan ke?” tanya Airis kepada Bobi.

“Tak. Sokongan tak boleh buat serangan kepada Prime. Tugas mereka hanya bantu Prime untuk membuat serangan. Pemilihan sokongan berdasarkan strategi Prime. Kena tahulah apa kebolehan sokongan kita. Persefahaman juga penting.” jelasnya.

Awan hitam tadi mula menghasilkan titik-titik hujan. Lama kelamaan menjadi lebat. Suri mengawal radius hujan ciptaannya hanya kepada kawasan gelanggang. Airis terlupa akan Kris kerana terlalu asyik melihat kebolehan Suri. Ketika dia mahu mengalihkan fokusnya kepada Kris, Kris hilang! Airis bangun dari tempat duduknya dan berganjak kehadapan. Kepalanya ditoleh ke semua arah mencari di mana Kris. Dia semakin hairan apabila para pelajar yang lain mula bersorak. Apa yang sedang berlaku sangat mengelirukan Airis.

Grutt menjadi semakin gelisah. Kris yang hilang dari pandangannya bakal mendatangkan masalah. Dia kemudian terbang disekeliling bumbung dewan dan menggunakan kebolehan matanya untuk memerhati seakan burung helang. Tangan dan kuku dijarinya berubah seperti kaki burung berserta taji. Dia seperti sedia untuk menyerang.

Tiba-tiba, endah dari mana, Kris muncul dan merentap kaki Grutt. Grutt terkejut, meronta-ronta dan terus rebah di atas gelanggang. Kris sekali lagi hilang dari pandangan. Pergerakan Grutt sedikit perlahan kerana hujan lebat. Dia melebarkan bukaan jarinya dan bersedia untuk mencengkam jika Kris muncul.

Sedang Grutt kelihatan bersedia, tubuhnya tiba-tiba terhumban jauh seperti dihentam dengan kuat. Ketika dia cuba bangun, sekali lagi dia tercampak. Waktu itu, kepala Grutt diselubungi bebola air dan dia meronta-ronta kelemasan. Peratusan status Grutt semakin menurun dan masa semakin suntuk.

“Berhenti! Cukup!” kedengaran satu suara menjerit dari arah tempat duduk pelajar-pelajar. Semua orang di dalam dewan berpaling kearah suara tersebut. Itu suara Airis.

……

Loceng dibunyikan memberi tanda waktu pertarungan telah tamat. Hujan pun berhenti dan Kris menjelma di atas gelanggang, memandang Airis. Grutt sudah pun selamat dan terus dialihkan keluar. Kris tidak memberi apa-apa respon kepada tindakan Airis dan terus sahaja berlalu pergi. Airis masih memandang Kris. Matanya sedikit berair, wajahnya berkerut. Nafasnya bergerak laju itu cuba ditenangkan. Dia seperti baru sahaja melihat sesuatu yang amat mengerikan.

“Apa awak buat ni, Airis? Kenapa dengan awak ni?” tanya Olive, risau.

“Kris. Awak tak nampak apa yang saya nampak tadi.” kata Airis sedikit menggigil. Tangan Airis ditarik dan dibawa oleh Olive ke satu bilik kosong.

“Sekarang waktu rehat sebelum dua lagi Core Battle. Awak bertenang, Airis. Lepas ni kita boleh balik.” kata Mari. Core Seven berkumpul untuk menenangkan Airis.

“Apa yang awak nampak tadi, Airis? Boleh ceritakan kepada kami?” tanya Olive.

“Nampak hantu ke? Gaya Airis tadi macam ada hantu nak serang dia. Risau betul.” tambah Zynn pula.

“Saya.. Saya.. Saya nampak Kris..”
“Saya nampak Kris mahu membunuh Grutt!”

Advertisements